Kes wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Negeri Sembilan dilaporkan meningkat 186.2 peratus dengan mencatatkan 1,634 kes sejak Januari hingga Isnin, menurut exco kesihatan negeri, S. Veerapan.

Beliau berkata jumlah tersebut terus meningkat berbanding 571 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata daerah Seremban mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,151 kes diikuti daerah Jempol (129), Port Dickson (93), Rembau (85), Kuala Pilah (80) serta Tampin dan Jelebu, masing-masing dengan 48 kes.

"Jumlah taska, tadika atau prasekolah yang masih ditutup adalah sebanyak enam buah iaitu lima di Seremban dan satu di Port Dickson. Tiada sekolah yang ditutup sepenuhnya di Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin malam.

Justeru, beliau meminta pengusaha pusat pendidikan dan jagaan kanak-kanak supaya segera melaporkan kluster wabak itu kepada Pejabat Kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

Sebagai langkah pencegahan bagi mengekang penularan wabak itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya anak yang dijangkiti wabak itu tidak dibawa ke tempat awam, sekolah atau tadika.

-- BERNAMA