Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa wabak jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV) membabitkan seorang lelaki yang baru pulang dari mengerjakan umrah diisytiharkan tamat.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana tiada kes baru jangkitan MERS-CoV dikesan dari seluruh negara, menjadikan kes kekal sebanyak satu sahaja dan juga tiada kejadian kluster jangkitan virus itu dilaporkan di kalangan kontak rapat jemaah itu.

Katanya kementerian menjalankan pemantauan tempoh jangkitan selama dua tempoh inkubasi penyakit berkenaan iaitu selama 28 hari dari hari pertama kes dikesan iaitu pada 24 Dis lepas dan berakhir Sabtu lepas.

"Secara kumulatif, seramai 75 kontak telah berjaya dikesan dan daripada jumlah tersebut, seramai 59 orang kontak rapat telah diletakkan di bawah pengawasan di rumah selama 14 hari bermula dari hari terakhir kontak bertemu dengan kes.

"Kesemua sampel yang diambil di kalangan kontak rapat kes telah diuji dan dilaporkan negatif jangkitan MERS-CoV," kata beliau dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Mangsa jangkitan MERS-CoV melibatkan seorang lelaki berusia 55 tahun dari Selangor dikesan positif MERS-CoV selepas pulang daripada mengerjakan umrah.

Mangsa dilaporkan mengalami gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki sejurus tiba di tanah air pada 23 Dis lepas.

Dr Noor Hisham berkata langkah-langkah kesiapsiagaan perlu dijalankan secara berterusan memandangkan Malaysia adalah berisiko mendapat jangkitan penyakit MERS-CoV terutama di kalangan mereka yang menunaikan umrah sepanjang tahun.

Menurut beliau, sebagai langkah waspada, agensi pelancongan khususnya yang menguruskan jemaah umrah dan haji diminta memperkukuhkan kesedaran di kalangan jemaah mengenai risiko jangkitan penyakit berkenaan.

"Masih belum wujud vaksin khusus untuk memberi perlindungan terhadap jangkitan penyakit MERS-CoV dan juga tiada ubat khusus untuk merawat penyakit ini.

"(Namun) para jemaah adalah amat digalakkan untuk mengambil vaksin influenza bermusim dan pneumococcal bagi membantu perangsang imuniti, khususnya melibatkan sistem pernafasan," katanya.

-- BERNAMA