Kejohanan PGM Darulaman 2018 (ADT) di Darulaman Golf & Country Club, Jitra Kedah menyaksikan wakil Malaysia, Muhammad Wafiyuddin Abdul Manaf mempamerkan aksi cemerlang apabila muncul sebagai pemain terbaik Malaysia.

Walaupun hari pertama jelajah kedua PGM tahun ini bermula kurang baik buat Muhammad Wafiyuddin dengan catatan 3 di atas par 75 namun ianya tidak mematahkan semangat perjuangannya untuk terus memberikan yang terbaik dalam saingan dengan pemain golf profesional dari pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat (AS), Jepun, Perancis, Sweden dan Thailand.

Bangkit bagi membuktikan beliau adalah antara yang terbaik, Muhammad Wafiyuddin mencatat pukulan 2 di bawah par 70 bagi terus memberi cabaran kepada pendahulu kejohanan dari AS, Kurt Kitayama yang turut mengumpul jumlah pukulan sama.

Permainan yang konsisten berjaya membantu Muhammad Wafiyuddin kekal bersaing pada hari ketiga kejohanan apabila beliau berjaya mencatat par 72.

Hari terakhir kejohanan menyaksikan Muhammad Wafiyuddin mencatat pukulan 8 di bawah par 64 mengumpul 281 jumlah pukulan sekali gus muncul permain terbaik Malaysia di kedudukan ke-7 dari 123 orang peserta.

Muhammad Wafiyuddin ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sokongan semua pihak terutama Naib Canselor dan juga pengurusan tertingi UUM.

"Saya berharap permulaan cemerlang tahun 2018 ini akan berterusan dan saya akan berusaha gigih bagi mencapai setiap sasaran yang ditetapkan," katanya.

Beliau juga berharap dapat mengekalkan momentum dan aksi cemerlang pada kejohanan akan datang.
___________________________________________________________________________

*Laporan ini disediakan oleh Awani Rangers Hanie Maisarah Ahmad Rasidi dari Universiti Utara Malaysia, UUM.

**Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

**Awani Rangers UUM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Utara Malaysia (UUM).