Bapa berperanan sebagai ketua keluarga dan hero dalam melindungi keluarga daripada ancaman musuh yang tidak kelihatan termasuk COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam ucapan sempena Sambutan Hari Bapa pada Ahad, beliau berkata golongan bapa mempunyai peranan yang besar dalam memastikan ahli keluarga selamat daripada virus maut itu.

"Saya Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah ingin mengucapkan selamat Hari Bapa dengan tema 'Bapaku Pemimpin Keluarga Sejahtera' kepada seluruh kaum bapa di Malaysia terutamanya petugas barisan hadapan.

"Saya percaya dengan keadaan negara dan seluruh dunia yang sedang menghadapi pandemik COVID-19, para bapa sekalian berperanan sebagai ketua keluarga dan hero dalam melindungi keluarga anda daripada penyebaran wabak yg tidak kelihatan ini," katanya melalui akaun Twitter miliknya, pada Ahad.


Mengulas lanjut, Noor Hisham menyeru golongan bapa berganding bahu bersama-sama memutuskan rantaian penularan COVID-19.

"Anda semua bapa yang hebat, selamat Hari Bapa. Bapaku pemimpinku, kita jaga kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga negara kita," ujarnya.