Satu Majlis Ukhwah Islamiyah Negara (MUIN) wajar ditubuhkan untuk membincangkan hal-hal berkaitan kepentingan Islam dan Melayu tanpa mengira sempadan politik.

Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali mencadangkan hari ini, MUIN diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja.

"Jika Majlis Raja-Raja bertitah untuk penubuhan majlis ini, saya percaya ia mampu menyumbang ke arah kebaikan masyarakat Melayu dan Islam," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Astro AWANI.

Tambah beliau, majlis ini boleh diwakili pelbagai pertubuhan dan melakukan perbincangan tanpa mengira parti politik.

"Selepas satu pandangan disepakati, ia boleh diangkat untuk perhatian Majlis Raja-Raja," jelas Ibrahim.

Katanya lagi, beliau dalam proses menyiapkan dokumen dan kertas kerja untuk dicadangkan kepada pihak bertanggungjawab bagi penubuhan MUIN.

"Saya berharap sebaik sahaja pembentangan dibuat, cadangan ini akan direalisasikan," tambah beliau.