Sekolah aliran Inggeris wajar dikembalikan bagi memastikan penguasaan guru dan pelajar dalam bahasa perantara itu berada pada tahap terbaik.

Menurut Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim, kemahiran berbahasa Inggeris akan meningkatkan kebolehpasaran dan taraf ekonomi seseorang.

"Sekolah aliran Inggeris dapat melahirkan guru-guru yang berkebolehan dalam bahasa tersebut dan ia sangat diperlukan dalam sistem pembelajaran masa kini.

BACA: Sekolah aliran Inggeris perlu diwujudkan semula - Abdul Rahman

"Kami menyokong penubuhan beberapa sekolah aliran Inggeris di negeri-negeri seperti Johor, Sabah dan Sarawak.

"Sekolah aliran Inggeris itu, akan menggunakan pendekatan dan prinsip pengajaran seperti kurikulum di Singapura dan Britain," katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan konsep 'Satu Sekolah Untuk Semua' perlu diterapkan mengikut kesesuaian masa.

"Sekolah jenis kebangsaan sedia tidak perlu ditutup sebaliknya wajar ditambah baik kualiti pendidikan sebelum menerapkan konsep tersebut," katanya.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata Sekolah aliran Inggeris perlu diwujudkan semula di negara ini bagi mempertingkat penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar agar mereka mampu bersaing dalam dunia yang penuh cabaran pada masa akan datang.