Pemakaian pelitup muka bukanlah untuk menyusahkan rakyat sebaliknya adalah untuk kebaikan mereka selain mengekang penularan COVID-19 dalam masyarakat.

Keputusan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka juga adalah tindakan wajar memandangkan berlakunya peningkatan kes positif dalam negara sejak kebelakangan ini.

BACA: Pemakaian pelitup muka diwajibkan bermula 1 Ogos - Ismail Sabri

BACA: Pemakaian pelitup muka wajib 1 Ogos, ini lima perkara utama sidang media Ismail Sabri

Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, meskipun kerajaan menguatkuasakan peraturan sebegitu namun kesedaran harus datang dari setiap individu terlebih dahulu.

“Wajar kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam tapi saya lebih cenderung untuk memberi pandangan bahawa keputusan sebenar itu perlu datang daripada individu dalam masyarakat.

“Kesedaran untuk pakai pelitup muka perlu lahir dalam diri sendiri, tidak perlu dipaksa, atau tunggu undang-undang untuk mengenakan denda dan sebagainya, “ katanya dalam temu bual Skype bersama Astro AWANI pada Sabtu.


Tambah beliau, lazimnya tindakan penguatkuasaan sebegitu merupakan langkah terakhir yang diambil selepas usaha lain sebelumnya tidak mendatangkan kesan diharapkan.

“Kalau lihat aspek kesihatan awam, penguatkuasaan undang-undang atau mengenakan denda adalah langkah terakhir apabila semua langkah-langkah promosi kesihatan, pendidikan yang kita kongsikan gagal dilakanakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Malina turut mencadangkan supaya pemantauan secara rawak atau dengan sela masa yang ditetapkan sentiasa dilakukan di kawasan sensitif atau kawasan yang berisiko tinggi.

BACA: KKM sambut baik arahan wajib guna pelitup muka, berikut tumpuan sidang media KKM


Jelasnya, sekiranya ia dapat dilakukan, sudah pasti kes penularan tempatan akan dapat dikekang dengan sebaiknya.

“Kalau kita lihat di kalangan masyarakat kita, kalau tidak ada punca kes, sepatutnya tidak ada kluster atau kes baru.

“Apa yang menyebabkan kita agak gusar ialah kadang-kadang ada pintu tertentu di mana mereka-mereka yang positif tetapi tidak disaring kemudian mereka hadir dalam masyarakat dan menyebabkan wujudnya kluster-kluster baru,” ujarnya.

BACA: COVID-19: Pakai pelitup muka sekarang - Lee Lam Thye

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat dua buah kluster baharu yang dikenal pasti pada Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan kluster masih aktif di Malaysia sebanyak 21 kluster.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham memaklumkan, dua kluster tersebut ialah Kluster Bukit Tiram di Johor dan Kluster Syarikat Pembinaan Kuching, Sarawak.

Malaysia juga terus mencatatkan dua angka kes positif COVID-19 selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 23 kes positif direkodkan setakat 25 Julai 2020.

BACA: Ketatkan semula SOP PKPP: Ini 5 perkara penting sidang media Menteri Kanan Pertahanan