Cadangan untuk mewajibkan murid-murid melengkapkan persekolahan mereka dari Tahun Satu sehingga tamat Tingkatan Lima oleh Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dianggap wajar dan kena pada masanya.

Menurut Ahli Majlis Kanak-Kanak kebangsaan dan Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata ia adalah kesinambungan daripada cadangan sebelum ini yang pernah dilontarkan.

“Saya sendiri pernah mencadangkan perkara itu sebagai salah satu penyelesaian kepada isu perkahwinan kanak-kanak kerana jika kita boleh mewajibkan persekolahan, maka anak-anak ini akan berada di sekolah dari umur 6 tahun hingga 17 tahun.

Jelasnya dalam sistem perundangan sedia ada sememangnya ada termaktub mewajibkan setiap kanak-kanak bersekolah di peringkat sekolah rendah.

Namun cadangan yang dikemukakan oleh Nie Ching dipanjangkan sehingga ke sekolah menengah dan dilihat sangat baik.

“Ia acara terbaik dalam memastkan hak-hak setiap kanak-kanak itu mendapat pendidikan yang diperlukan mereka sehingga usia 17 tahun. Sekurang-kurangnya apabila mereka mencecah usia tersebut, mereka mempunyai sijil dan mereka boleh memutuskan utnuk meneruskan pelajaran mereka ataupun bekerja,” katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI.

Bagaimanapun jelasnya, ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai cadangan denda yang dikemukakan iaitu denda sehingga RM5,000 ataupun enam bulan penjara.

Ini kerana jelasnya mahkamah akan melihat setiap kes kegagalan kanak-kanak yang tercicir itu secara terperinci tanpa menganiaya mana-mana ibu bapa atau penjaga.

“Jika kita lihat daripada cadangan itu, denda tersebut ialah sehingga RM5,000 atau penjara. Tentunya mahkamah akan menilai secara menyeluruh setiap kes. Ada kemungkinan kegagalan itu berpunca daripada pelbagai faktor termasuk kemudahan untuk mereka ke sekolah, kemampuan mereka dan sebagainya,” katanya lagi.

Cadangan tersebut dilihat sebagai salah satu cara untuk mencapai sasaran sifar murid tercicir di negara ini.