Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengecam tindakan seorang wakil rakyat DAP yang mengeluarkan kata-kata kesat dalam kritikannya terhadap pemimpin UMNO dan menganggap perbuatan itu sebagai biadab.

"Kita dalam sistem demokrasi, kita boleh mempunyai pendirian yang berbeza, dan kita boleh mengeluarkan kritikan antara satu sama lain tetapi kata-kata kesat, kata-kata yang hina ini tidak boleh dan tidak patut dikeluarkan oleh mana-mana wakil rakyat ataupun pemimpin politik.

"Saya anggap ini sebagai suatu yang keterlaluan, sesuatu yang bersifat biadab dan tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia yang bersikap rasional dan waras," katanya kepada wartawan Malaysia ketika diminta mengulas kenyataan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Delima R.S.N Rayer baru-baru ini.

Rayer mengeluarkan kata-kata kesat itu kepada pemimpin UMNO pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Selasa lepas sehingga menimbulkan kemarahan anggota UMNO.

Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia mesti menunjukkan bahawa mereka menghormati amalan demokrasi yang sihat dan matang.

Najib, yang juga Presiden UMNO bagaimanapun menasihatkan anggota Umno supaya tidak keterlaluan dalam tindakan balas mereka.

"Kita mesti menghormati undang-undang dan tata susila dalam negara kita, jadi saya harap semua pihak akan mengambil apa-apa respons yang sewajarnya dan tidaklah membuat sesuatu yang boleh menjejaskan imej parti kita," katanya.

Najib berada di sini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Kazakhstan.