Menaikkan cukai ke atas rokok tidak akan dapat memberi impak besar dalam usaha mengurangkan penggunaan rokok, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata walaupun langkah menaikkan cukai ke atas rokok dilaksanakan, perokok masih boleh membeli rokok kerana harga disifatkan mampu milik.

Ini katanya berdasarkan kajian yang dilakukan oleh kerajaan dalam tempoh 1985 hingga 2015.

“Kajian mengenai index harga rokok dan kemampuan membeli rokok di Malaysia dari 1985 hingga 2015, menunjukkan rakyat Malaysia masih mampu membeli rokok walaupun cukai rokok dinaikkan dan harga ditingkatkan.

“Ini adalah kerana (harga) masih rendah berbanding kenaikan taraf hidup dan pendapatan rakyat,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Subang Wong Chen yang bertanya adakah kerajaan bersetuju untuk mengumpul dan menerbitkan data komprehensif mengenai kos ekonomi berkaitan merokok.

Kata Dzulkefly walaupun cukai ditingkatkan ke atas rokok, perokok tegar masih boleh membeli rokok seludup daripada pasaran gelap.

"Ini yang membimbangkan kerajaan apabila cukai dinaikkan, golongan berpendapatan rendah akan menggunakan rokok seludup. Ini akan menyebabkan mereka lebih terdedah dengan penyakit kronik seperti kanser," katanya.

Katanya hasil kajian Kementerian Kesihatan pada 2017 mendedahkan kerajaan akan menanggung beban kos rawatan sebanyak 7.40 bilion pada tahun 2025.