Ikan buntal nampak pelik, namun ia turut popular sebagai barangan perhiasan terutama dalam kalangan pencinta cenderahati eksotik.

Pasti ramai yang tidak menyangka ikan buntal, yang badannya mengembung apabila diancam dan tidak bersisik, boleh dijadikan barang perhiasan di rumah mahupun dalam kereta.

Pengusaha cenderahati ikan buntal di Pulau Pangkor, dekat sini, Mohd Arshad Yusup, 40, berkata kebanyakan mereka membeli ikan buntal di gerainya untuk dijadikan perhiasan rumah selain memberikannya sebagai cenderahati kepada rakan-rakan selepas pulang bercuti di pulau berkenaan.

Bagaimanapun, menjadikan ikan buntal sebagai cenderhati bukanlah mudah kerana ikan ini berbisa.


PENGUSAHA PRODUK HIASAN

Arshad yang menjual produk ikan buntal secara sampingan berkata ramai pelancong tempatan dan asing sangat teruja dan berminat untuk membeli ikan buntal sehingga nilai jualan mampu mencecah RM300 seminggu.

"Biarpun proses membuatnya sangat sukar dan membahayakan nyawa, saya hanya menjual buntal dari RM30 hingga RM150 seekor mengikut saiz.

"Lagipun ikan ini selalunya ditemui terperangkap di dalam bubu nelayan bersama-sama ikan laut dalam dan mereka memang akan buang ikan ini kerana ia beracun, jadi lebih baik saya jadikan ia barangan perhiasan daripada membuangnya begitu sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Gedong di sini, baru-baru ini.

Arshad yang mempunyai gerai makanan kecil di tempat sejarah Kota Belanda di Pulau Pangkor mula menjual cenderahati ikan buntal sejak lima tahun lepas setelah mendapati ramai pelancong tertarik dengan hiasan ikan buntal yang digantung di gerainya.

Sejak itu Arshad berhasrat mempelajari cara mengawet ikan buntal dan menjual lebih banyak cenderhati berkenaan.


PROSES PENGHASILAN PERHIASAN IKAN BUNTAL

"Saya belajar cara-cara mengawet ikan buntal ini daripada beberapa kawan yang memang sudah arif dengan dunia ikan buntal dan kini saya adalah antara penjual ikan buntal paling aktif di Pangkor.

"Jika Pulau Langkawi terkenal dengan gamatnya, saya mahu Pulau Pangkor pula terkenal dengan ikan buntal," katanya.

Sepanjang Arshad berkecimpung dalam membuat dan menjual cenderahati ikan buntal, beliau hanya menggunakan empat spesies ikan buntal iaitu spesies buntal duri, buntal landak, buntal landak jarum dan buntal pasir atau nangka.

Menurutnya proses pembuatan bermula dengan ikan itu dibekukan dalam peti sejuk selama tiga hari bagi memastikan proses mengasingkan kulit dan isi lebih mudah.

"Kemudian, selepas tiga hari saya akan mulakan proses menegeluarkan perut ikan berkenaan menggunakan gunting dan proses ini agak rumit dan memerlukan perhatian tinggi.

"Ini kerana saya perlu berhati-hati dengan bisa yang terdapat di dalam hempedu ikan berkenaan yang mana sangat beracun hingga boleh membawa maut," katanya yang dikenali dengan jolokan Alang Angryfish di Pangkor.

Ikan buntal atau pufferfish juga sinonim sebagai ikan pembunuh kerana ikan itu mengandungi racun neurotoxin yang menyerang saraf.

Maklumat saintifik juga meletakkan ikan buntal sebagai haiwan kedua paling beracun selepas Golden Poison Frog yang berupaya membunuh manusia dalam beberapa saat.

Arshad yang mempunyai empat orang anak itu berkata sebaik perut ikan dibersihkan, beliau akan meletakkan belon ke dalam perut ikan buntal sebelum menjahit semula perut ikan berkenaan.

"Semasa proses menjahit, pasti ada kecederaan kecil kerana durinya sangat tajam.

"Kemudian saya akan meniup belon tersebut untuk mengembungkan perut ikan buntal sebelum mengantungkannya selama tiga hari bagi memastikan lendir dan air di dalam ikan itu hilang," katanya.

Selepas tiga hari, Arshad berkata belon berkenaan perlu ditarik keluar dan ikan buntal perlu dikeringkan sekali lagi secara mendatar bagi memastikan bau hanyir ikan tersebut hilang.

"Memang remeh proses membuat cenderahati ikan buntal ini ditambah pula ia berbisa tetapi saya mahu ia menjadi satu daripada ikon di Pulau Pangkor kerana ia memang sukar ditemui di tempat lain.

"Saya juga tidak menggunakan apa-apa bahan kimia ke atas ikan berkenaan kerana saya tidak mahu ia menjejaskan kesihatan pembeli," katanya.

Selain produk perhiasan rumah, ikan buntal berkenaan turut dijadikan tabung, topi dan sarung pisau.

Sesiapa yang berkunjung ke Pulau Pangkor, jangan lupa melihat atau membeli cenderhati ikan buntal Mohd Arshad.