‘Satu undi untuk Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah satu undi untuk beliau jadi Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia dan untuk Pakatan mengambil alih Putrajaya'.

Itu adalah mesej terbaru DAP dalam kempennya untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang yang masuk fasa terakhir.

Awal hari ini, penasihat DAP Lim Kit Siang menggesa pengundi di Kajang untuk "mencipta sejarah" dan merayu undi mereka dengan mengatakan Wan Azizah boleh jadi Perdana Menteri Malaysia yang akan datang.

"Jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-14 dengan memenangi majoriti kerusi Parlimen di Malaysia, negara ini akan mungkin akan mendapat Perdana Menteri wanita yang pertama," kata Kit Siang, sambil menjelaskan bahawa pilihan Pakatan Rakyat sekarang, ketua pembangkang, Anwar Ibrahim mungkin hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang susulan sabitan tuduhan liwat yang dihadapinya.

Perkembangan terbaru dalam 'Perancangan Kajang' ini agak mengejutkan namun penganalisis politik berpendapat ia mesej terbaik untuk meraih undi pada saat-saat akhir menjelang pilihan raya kecil Ahad ini. Mereka bagaimanapun ragu-ragu tentang kemungkinan itu.

“Ini akan meraih banyak sokongan terutamanya daripada pengundi wanita," kata Profesor James Chin dari Monash University.

Beliau berpendapat kenyataan itu mungkin akan mencetuskan rasa kurang senang di kalangan sesetengah kumpulan dalam Pakatan Rakyat, namun berkata belum ada pilihan lain setakat ini.

"Selain Wan Azizah, siapa lagi yang boleh diterima oleh semua pemimpin Pakatan Rakyat? Belum ada buat masa ini," kata Chin.

Bagi PAS, presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang selalu ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri manakala bagi Parti Keadilan Rakyat pula, timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Adakah meletakkan Wan Azizah ke depan akan menyebabkan beberapa kumpulan dalam Pakatan tidak senang hati?

Bagi penganalisis politik Khoo Kay Peng, itu tidak penting kerana beliau percaya menamakan Wan Azizah sebagai hanyalah satu “langkah perhubungan awam".

“Ini hanyalah strategi komunikasi untuk memberitahu rakyat bahawa Pakatan masih berpegang dengan mesejnya iaitu Kajang merupakan papan lonjak untuk Selangor dan untuk ke Putrajaya. Ini hanya untuk menunjukkan satu kesinambungan," kata Kay Peng.

Menurutnya lagi, beliau percaya Pakatan Rakyat belum lagi merumuskan pelan luar jangka sekiranya Anwar benar-benar hilang kelayakan bertanding kerana kes mahkamahnya.

“Kalau bukan lagi Anwar, makanya Azizah. Tetapi realitinya, mereka sepatutnya duduk berbincang dan memikirkan isu pengganti itu dengan serius. Itu baik untuk mereka," katanya.

Jelas Kay Peng, ini masanya untuk pemimpin muda mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan oleh pemimpin yang kanan seperti Kit Siang, Anwar dan Hadi.

Katanya, biarpun Wan Azizah mungkin pilihan yang baik untuk Kajang kerana beliau "tidak kontroversi", untuk jadi perdana menteri adalah satu hal yang lain pula.

"Pada umumnya, beliau belum menunjukkan kepimpinan untuk jadi calon perdana menteri."

Wan Azizah akan berdepan calon Barisan Nasional, Datin Paduka Chew Mei Fun daripada MCA dalam pertarungan satu lawan satu pada pilihan raya kecil Ahad ini.

Kerusi kawasan DUN Kajang yang mempunyai 39,728 pengundi berdaftar kosong selepas wakil rakyatnya Lee Chin Cheh daripada PKR letak jawatan pada 27 Januari lepas.