Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menggesa pengamal perubatan swasta meningkatkan usaha dalam membantu pemain bukan negara yang menjadi tunjang ketiga negara dengan menyediakan perkhidmatan mereka kepada golongan yang memerluikan dan terpinggir.

Beliau berkata mereka boleh membantu pemain bukan negara seperti masyarakat tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan sosial dan aktivis sosial melalui sumbangan, menyumbang masa dan menawarkan perkhidmatan secara sukarela di samping menyertai sepenuhnya entititi tersebut sebagai peneraju utama.

"Ini penting kerana perkhidmatan perubatan dikawal selia dan ditadbir di bawah standard profesional yang ketat.

"Sesiapa sahaja boleh memasak dan memberi makan kepada mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal tetapi ia memerlukan doktor perubatan yang berkelayakan untuk memberi perkhidmatan perubatan kepada mereka.

"Justeru, saya merancang untuk memanfaatkan institusi seperti Yayasan Kebajikan Negara untuk memainkan peranan lebih besar bagi mengumpul dana dan membantu golongan yang memerlukan dan pemain bukan negara," kata beliau pada majlis makan malam Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta di sini malam tadi.

Dr Wan Azizah berkata era baharu Malaysia yang dikenalinya sebagai Doktrin Fajr, bukan sahaja perlu mengiktiraf pemain bukan negara tetapi pertumbuhan mereka perlu dipupuk dan disokong.

Oleh itu, kata beliau, sektor kerajaan dan swasta boleh bekerjasama dalam membantu pemain-pemain bukan negara.

"Kerajaan boleh memainkan peranan membantu melalui perundangan dan membiayai pemain-pemain bukan negara. Sektor swasta pula boleh membiayai dan bekerjasama rapat dengan pemain bukan negara melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR)," kata beliau.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata kos penjagaan kesihatan dijangka meningkat berikutan pertumbuhan semula jadi dan permintaan untuk kemudahan rawatan mewah dan justeru, doktor di sektor awam dan swasta mempunyai peranan dalam menangani pengkomersialan dalam penjagaan kesihatan.

"Gabungan suara mereka akan memastikan perancangan yang betul dilakukan apabila penggubal dasar mengolah semula strategi untuk Rancangan Malaysia yang akan datang," kata beliau.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta, Dr Steven Chow.

Pada majlis tersebut, Dr Wan Azizah menerima 'mock-cheque' bernilai RM100,000 daripada Dr Steven sebagai sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia.

-- BERNAMA