Pelantikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar (MB) Selangor yang baharu merupakan kesinambungan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) pada penggal kedua memerintah negeri itu.

Pada masa sama, khidmat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan akan diserap sebagai antara orang kanan bahagian perancangan ekonomi negeri Selangor.

Naib Presiden, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua berkata, isu pertukaran MB juga disifatkan selesai dengan kerjasama dan persetujuan bersama pimpinan tertinggi PKR, PAS dan DAP.

"Saya yakin masalah pertukaran MB dapat selesai dengan proses dan suasana yang baik di dalam PR.

"Walau banyak percanggahan pendapat pemimpin PR sendiri di dalam media, saya nampak ia sebahagian proses perundingan dan yakin kepimpinan dapat selesaikannya dengan baik," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.

Tian Chua mengulas isu pertukaran Abdul Khalid dengan Wan Azizah yang dijangka berlaku bulan ini.

Bagaimanapun, PAS sebelum ini menyatakan pendirian mahu Abdul Khalid kekal menerajui Selangor selain DAP dilihat mengambil pendirian senyap dan memerhati sahaja.

Bagaimanapun, isu ini menimbulkan pergolakan di dalam PR selepas beberapa pemimpin PAS dan DAP menyatakan pandangan masing-masing yang bersifat kontra dengan keputusan pertukaran jawatan MB itu.

Ia juga dilihat semakin kronik selepas mesej kumpulan WhatsApp AJK PAS Pusat yang mencadangkan parti Islam itu keluar PR tersebar.

Dalam pada itu kata Tian Chua, PKR juga sudah lama memaklumkan kepada PAS dan DAP tentang kebaikan pertukaran berkenaan.

"Ia dilihat dapat mempertingkat prestasi dan pentadbiran negeri. Kita buat ini dengan semangat persahabatan PR sendiri.

"Kita tidak buang Abdul Khalid, masing-masing ada peranan tersendiri. Walau Wan Azizah menjadi MB, Abdul Khalid tetap memainkan peranan tersendiri dalam pentadbiran Selangor," ujarnya.

Tian Chua turut melahirkan keyakinan tiada sebarang masalah timbul dalam proses pertukaran MB ini.

"Kita tunggu maklum balas daripada PAS pada 10 Ogos ini dan akan teruskan pelaksanaan pertukaran ini dengan baik," katanya.

Pada Jumaat, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta semua parti politik menyatakan pendirian sama ada wanita boleh dilantik sebagai menteri besar sebelum bercakap tentang menggantikan ketua eksekutif Selangor.

Guan Eng sebelum ini memberi amaran PR mungkin berpecah jika parti komponen mengenepikan keputusan yang sudah dicapai bersama.