Berita kemangkatan Sultan Pahang kelima, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah turut dirasai oleh para pemimpin di negara ini.

Almarhum mangkat di Institut Jantung Negara (IJN) pada pagi Rabu, jam 8.50 pagi

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam entri terbaharu beliau di Instagram, merafak sembah takziah ke atas kerabat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah atas kemangkatan Almarhum.

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Merafak Sembah Ucapan Takziah kepada seluruh Kerabat DiRaja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pagi ini di Institut Jantung Negara (IJN)"



BACA: Jenazah Sultan Ahmad Shah dimakam esok, rakyat Pahang berkabung 40 hari

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh kerabat diraja Pahang menerusi akaun Twitter beliau.

"Merafak sembah takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan keluarga serta seluruh rakyat Pahang di atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah. Semoga Allah merahmati dan mengampuni Allahyarham."


Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga turut merafak sembah takziah kepada Yang Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat Pahang ke atas kemangkatan Almarhum

"Semoga Almarhum mendapat husnul khatimah dan rohnya dicucuri rahmat Allah SWT."


Jenazah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah akan dimakamkan di Makam Diraja di Pekan, Pahang selepas solat Zohor esok.