Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di sini pada Rabu untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Sidang Kemuncak Asia-Eropah ke-12 (ASEM) pada 18 dan 19 Okt.

Dr Wan Azizah dan delegasi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brussels-Zaventem pada 6.45 petang Rabu (12.45 pagi Khamis di Malaysia) dan disambut oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah; Duta Malaysia ke Belgium dan Ketua Perwakilan Malaysia ke Kesatuan Eropah Datuk Hasnudin Hamzah dan isteri, serta para pegawai Kedutaan Malaysia di Belgium.

Ini merupakan lawatan kali pertama Dr Wan Azizah ke Eropah sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 21 Mei.

Lawatan sulung Dr Wan Azizah itu amat penting dalam mempereratkan lagi hubungan kerjasama dua hala dalam pelbagai isu dan bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

Beliau dijangka akan memperjelas dan membincangkan hal-hal berkaitan dasar Malaysia selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa pemerintahan daripada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Mei lepas.

Saifuddin berkata Dr Wan Azizah dijangka akan menghadiri sesi penuh sidang kemuncak itu, menyampaikan kenyataan pada sidang pleno kedua, selain mengadakan tiga pertemuan dua hala sempena sidang kemuncak itu.

Dr Wan Azizah dijadual mengadakan pertemuan dua hala itu masing-masing dengan perdana menteri Belanda, Ireland dan Norway.

"Ini adalah lawatan kerja rasmi pertama ke Eropah oleh seorang menteri bertaraf tinggi Malaysia Baharu. Timbalan Perdana Menteri yang lebih selesa untuk membincangkan isu-isu seperti yang berkaitan demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia, akan mempamerkan apa sebenarnya Malaysia Baharu itu," kata Saifuddin.

Beliau berkata Dr Wan Azizah juga menjadi duta yang baik bagi negara-negara Islam memandangkan Malaysia adalah antara pendahulu dalam kalangan demokrasi Islam yang baru muncul di dunia.

Sidang Kemuncak ASEM dua hari itu akan mempertemukan ketua-ketua negara atau ketua kerajaan dari 51 negara Eropah dan Asia, wakil dari Kesatuan Eropah (EU) dan Setiausaha Agung ASEAN.

Negara-negara anggota ASEM mewakili 60 peratus daripada pendududuk dunia dan menyumbang 55 peratus kepada perdagangan dunia, 65 peratus kepada keluaran dalam negara kasar dunia dan 75 peratus kepada pelancongan dunia.

-- BERNAMA