Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pelantikan itu adalah bagi menggantikan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin yang telah tamat tempoh pelantikannya dan setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Jamil dalam satu kenyataan di sini malam semalam berkata, pelantikan Wan Zahdi, 75, adalah berdasarkan pengalamannya yang luas dalam pelbagai bidang dan lapangan kerjaya khususnya berkaitan dengan hal ehwal Islam.

Selain pernah berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, Wan Zahdi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah) serta Ijazah Sarjana (Usul Fiqh) dari Universiti Al-Azhar Mesir pernah menyandang jawatan Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan serta pernah menjadi Pengerusi Panel Pakar Akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Wan Zahdi yang berasal dari Grik Perak juga pernah menjadi Pensyarah Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dalam pada itu Jamil menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Abdul Shukor atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada agama, bangsa dan negara sepanjang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI.

Abdul Shukor menyandang jawatan berkenaan sejak 2005.

-- BERNAMA