Seorang pembantu sebuah taman asuhan kanak-kanak di sini kerugian sebanyak RM78,000 apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya lesap dipercayai angkara Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 56 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada pihak polis mendakwa kereta jenis Perodua Myvi miliknya didapati kenderaan curi pada awal bulan ini.

Menurutnya, panggilan itu seterusnya disambungkan kepada 'Inspektor Mazlan' dan hasil semakan juga mendapati mangsa juga terbabit dengan kes pengubahan wang haram.

"Namun 'Inspektor Mazlan' memberitahu boleh membantu mangsa untuk membersihkan namanya daripada tuduhan berkenaan, sebelum mangsa dihubungi oleh seorang wanita.

"Namun suspek wanita itu meminta mangsa mengaktifkan perbankan internetnya. Mangsa juga diminta untuk berikan nombor pada kad pengeluaran wang automatik (ATM).

"Kemudian mangsa diarahkan untuk pergi ke Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini untuk memindahkan wang simpanan KWSP ke dalam akaun bank miliknya sendiri," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Katanya lagi, mangsa kemudian memindahkan wang simpanan KWSP berjumlah RM78,000 ke dalam akaunnya sebelum suspek memberi amaran supaya tidak menceritakan hal berkenaan kepada mana-mana pihak dalam masa seminggu.

"Namun, semalam mangsa membuat semakan di bank dan mendapati wang dalam akaunnya sudah dipindahkan ke dalam satu akaun yang lain dengan jumlah sebanyak RM78,000.

"Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini selepas mendapati dirinya ditipu sindiket Macau Scam," katanya.

Mohd Wazir berkata, pihak polis sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun bank berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.