"Wang sumbangan untuk arwah saya akan agihkan untuk diberikan kepada anak yatim dan masjid”

Itu luahan Che Omar Hamid, 61, bapa kepada Marziah Che Omar, 27, gadis yang meninggal dunia ketika Taufan Lekima sewaktu menunggang motosikal di Batu 13, berhadapan Masjid Siti Fatimah, dekat Jitra pada 9 Ogos lalu.

Menurut Che Omar, sumbangan yang diterima akan digunakan sebaiknya bagi meneruskan hasrat arwah anaknya ketika hidup menginginkan anggota keluarga membantu insan kurang bernasib baik dan masjid.
Che Omar dan isteri Antilah Mat Isa kini amat terasa kehilangan anak bongsu mereka itu.
Malah kini mereka berdua tidak dapat tinggal di rumah di Taman Bersatu, Jitra kerana masih teringat akan arwah.

BACA: "Menggeletar tengok jenazah anak ditutup dengan payung" - Ibu mangsa maut elak zink terbang

Malah keseluruhan barangan arwah tidak dapat ditatap kerana sedih mengenangkan anak paling rapat dan ceria itu hilang sekelip mata.
"Duit tu sumbangan daripada Timbalan Perdana Menteri saya akan serah lah sedekah sedekah anak anak yatim buat beli apa kat surau surau masjid masjid sedekah sumbangan untuk dia," kata Che Omar.

Pagi tadi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah berkesempatan menziarah serta menyampaikan sumbangan kepada keluarga Che Omar.
Menurut Che Omar, dia tidak menyangka pemimpin kedua tertinggi negara ini sudi datang dan menziarahi mereka di kediaman di Taman Bersatu, Jitra.

Dalam kejadian pada 9 Ogos lalu mangsa Marziah Che Omar menunggang motosikal seorang diri cuba mengelak zink yang berterbangan daripada terkena mangsa dalam kejadian ribut Taufan Lekima.
Mangsa terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah belakang mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian.