Polis menahan empat orang, termasuk seorang wanita yang membawa dua anak perempuannya yang berusia enam tahun dan 10 bulan semasa mengedar dadah.

Wanita berumur 28 tahun itu bersama-sama tiga lelaki yang berumur antara 22 dan 33 tahun ditahan di dalam sebuah kereta Proton Persona dalam sekatan jalan raya Op Bersepadu Pencegahan Jenayah di Jalan Pusing, di sini, pada 11.15 malam Khamis.

Ketua Polis Daerah, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, kesemua suspek ditahan setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan dan dibawa balik ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam bonet kenderaan yang dinaiki, menjumpai 18 paket plastik lutsinar berisi dadah dipercayai jenis methamphetamine seberat 94.65 gram.

Katanya, pemeriksaan juga dilakukan ke atas wanita itu dan menemui dua paket plastik lutsinar berisi bahan kristal disyaki dadah jenis sama seberat 1.77 gram dalam poket seluarnya.

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kesemua mereka mendapati positif dadah dan hanya lelaki berusia 24 tahun mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah,” katanya di sini.

Ahmad Adnan berkata siasatan juga mendapati kesemua suspek hanya kawan dan tidak mempunyai talian persaudaraan.

Mereka dikatakan dalam perjalanan menjual dadah bernilai RM14,250 itu di kawasan Batu Gajah dan Teluk Intan.

Beliau berkata, dua anak perempuan suspek wanita itu diserahkan kepada abang kandungnya untuk jagaan.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Jun untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.