Tiada keperluan menetapkan kuota bagi wanita untuk jawatan di dalam kerajaan, demikian menurut bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz.

Sebaliknya, beliau berkata, pemilihan bagi jawatan tersebut patut dibuat berdasarkan meritokrasi.

"Kenapa perlu letak kuota? Kita pilih berasaskan kebolehan. Jika lebih wanita layak bagi jawatan tersebut, lantiklah mereka," katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi perbincangan bertajuk 'Pemerkasaan Wanita: Mendefinisi semula Feminisme' sempena Sidang Kemuncak Kepimpinan dan Aspirasi Nasional (NALS 2016) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini petang Ahad.

Dalam sesi tersebut, Rafidah menekankan kepentingan peranan wanita dalam proses membina unit keluarga dan negara secara keseluruhannya.

Turut hadir ketika sesi itu ialah Pengasa bersama dan Pengarah Lean In Summit, Sarah Chen dan pakar perunding respiratori Prof Madya Dr Tidi Hassan.