Wanita berusia 72 tahun dari Lingga, Sri Aman menjadi mangsa terbaharu korban COVID-19 di Sarawak.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media harian wabak tersebut di Kuching pada Rabu.

Menurut Uggah, penambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak tersebut kepada 16 kes setakat ini.

“Mangsa mempunyai darah tinggi dan ketumbuhan dalam perut. Mangsa mengalami kesakitan pada bahagian epigastrik, melaenic stool dan masalah pernafasan sebelum ini.

“Kes telah dirujuk di Hospital Sri Aman sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak pada 20 April 2020,” kata beliau.

Tambah Uggah, ujian telah dilakukan pada mangsa dan keputusannya adalah positif selain keadaan kesihatan mangsa semakin merosok dan disahkan meninggal dunia pada Rabu jam 9.15 pagi.

Beliau menjelaskan, punca jangkitan mangsa masih dalam siasatan kerana kontak tidak mempunyai sejarah terdedah kepada mana-mana kes positif COVID-19.

Sementara itu, ditanya sama ada Sarawak akan melakukan ujian saringan ke atas lebih 100,000 pekerja asing di Sarawak, beliau berkata pihaknya masih belum membuat keputusan.

“Sebenarnya, terdapat arahan dari Kuala Lumpur iaitu dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Bagi majikan mereka perlu diuji tetapi di Sarawak, kita mempunyai sedikit masalah kerana tidak mempunyai banyak hospital swasta yang menyediakan kemudahan tersebut,” katanya.

Namun, tegas Uggah pemantauan ketat tetap diteruskan bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal di negeri itu.