Niat seorang wanita hendak melabur membawa padah selepas mendakwa kerugian RM135,520 akibat diperdayakan oleh kenalan di laman sosial yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 51 tahun mendakwa berkenalan dengan suspek lelaki pada 19 Nov lalu yang kemudiannya menawarkan peluang pelaburan di negara jiran.

"Suspek mendakwa pelaburan itu menjanjikan keuntungan sehingga ratusan ribu ringgit menyebabkan mangsa tertarik dan diminta untuk berurusan dengan seorang wanita kononnya rakan suspek yang bekerja di sebuah bank negara asing.

"Mangsa mendakwa telah memindahkan wang sebanyak RM135,520 kepada akaun wanita itu menerusi enam transaksi bermula hujung November sehingga pertengahan bulan ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mula berasa curiga selepas gagal menghubungi kedua-dua suspek sejak beberapa hari lalu bagi bertanyakan keuntungan yang masih belum diperolehi walaupun sudah 'melabur' dalam jumlah yang besar.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bera semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA