Seorang wanita berusia 33 tahun ditahan pihak polis di satu sekatan jalan raya di sini kerana membawa tiga lelaki Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dalam kenderaan yang dipandunya.

Menurut polis, wanita berkenaan mendakwa, dia dibayar RM450 oleh seorang lelaki yang juga warga Bangladesh, untuk membawa ketiga-tiga lelaki berkenaan ke Keteri, Perlis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata, mereka ditahan ketika melalui SJR di hadapan gelanggang futsal di Jalan Napoh, Changlun, pada Khamis.

Katanya, lelaki Bangladesh yang berusia 30 hingga 36 tahun itu dibawa ke Keteri bagi tujuan mencari pekerjaan baharu.

"Mereka berempat bertolak dari Sentul, dan dipercayai sudah pun tiga tahun berada di Malaysia, dan bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja kilang perabut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Ismail, ketiga-tiga lelaki Bangladesh itu turut ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan hanya mempunyai kad permit kerja yang disyaki palsu.

"Pihak polis bertindak dengan merampas kereta Toyota Vios berkenaan dan telah membawa kesemua mereka ke balai.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, siasatan awal mendapati wanita itu adalah pemandu teksi persendirian atau prebet sapu yang dikatakan belum menerima bayaran dan bertolak dari Sentul bersama tiga lelaki berkenaan pada pukul 10 pagi semalam.

Menurutnya, wanita tersebut yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman 28 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Tiga pendatang asing itu pula ditahan reman selama 14 hari.