Seorang suri rumah ditahan polis kerana menyembunyikan bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat tiga kilogram dengan anggaran nilai RM240,000 di Kampung Pangkalan Wakuba, Tawau Sabah pada pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata wanita yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah itu ditahan sewaktu Ops Tapis.

Wanita warga asing itu ditahan di salah sebuah rumah tidak bernombor oleh sepasukan pegawai dan enam anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan strike team IPD Tawau yang diketuai inspektor Izwan Rahman.

“Polis menjumpai bungkusan plastik yang disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat tiga kilogram iaitu dengan harga di pasaran RM240,000.

“Turut ditangkap seorang wanita yang tidak mempunyai dokumen, seorang warga Filipina tidak berkerja dan berkahwin," kata Fadil.

Menurutnya lagi, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek wanita berusia 55 tahun itu negatif dadah dan rekod menunjukkan suspek tidak mempunyai kesalahan lampau.

Suspek dipercayai terlibat dengan sindiket dadah pengedaran dadah untuk kawasan Tawau dan beberapa daerah lain.

Polis kini masih memburu rakan dan ahli sindiket tersebut.

Sebuah kereta bernilai RM25,000 turut disita dalam serbuan tersebut.

Suspek ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari dan disiasat di bawah seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.