Sebut sahaja teknik ‘stunt’ motosikal sama ada ‘wheelie’, ‘stoppie’, ‘donut’, ‘drift’, ‘jet-ski’, ‘stopper stand’, ‘high chair stoppy’ atau ‘burn-out’, wanita berusia 33 tahun yang merupakan ibu kepada cahaya mata kembar tidak keberatan untuk menunjukkan demonstrasi kesemua teknik tersebut.

Sambil memakai topi keledar bertutup penuh dan sut keselamatan, Ilia Iryani Shuib mengimbas detik awal pembabitannya sekitar 2008 sewaktu menuntut di Universiti Sains Malaysia, anak jati Selangor itu berkata beliau ketika itu aktif sebagai anggota jawatankuasa penganjuran beberapa program permotoran.

“Saya perlu mencari penaja untuk pertandingan skuter cantik, dan saya berjaya mendapat tajaan kewangan daripada syarikat pengeluar rantai motosikal, RK-M. Tidak sangka pula, Team Stunt RK-M akan membuat persembahan lagak ngeri pada pertandingan itu.

“Nak dijadikan cerita, mereka tawarkan saya menjadi salah seorang pelagak ngeri untuk Team Stunt RK-M walaupun saya tidak mempunyai asas. Tetapi, mereka bersedia membantu saya belajar teknik 'stunt’ sekiranya berminat,” kata pemegang ijazah jurusan Biologi Akuatik itu kepada Bernama.

Bermula daripada sekadar mencantikkan skuter miliknya ketika di universiti, Ilia Iryani tidak menyangka akan terlibat dengan dunia lagak ngeri bermotosikal dan lasak itu yang kini menjadi hobi dan rutin harian bagi dirinya.

Wanita berketinggian 155 cm itu berkata, selama enam bulan pertama terlibat dengan sukan lasak bermotosikal, beliau terpaksa merahsiakan hal itu daripada keluarga khususnya kedua ibu bapa kerana mereka pasti akan bimbang dengan keselamatan Ilia Iryani.

“Saya hanya beritahu kakak sahaja. Namun kakak saya secara tidak sengaja memberitahu bapa tentang tiket percuma menonton perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal di Sepang, dan memaklumkan bahawa saya akan membuat persembahan aksi lasak,” kata anak ketiga daripada enam beradik itu.

Walaupun pada awalnya ibu bapa sukar untuk menerima, namun selepas menyaksikan persembahan ketika itu, Ilia Iryani berkata ibu bapanya menyokong minat tersebut dan menganggap profesion itu sebagai platform untuk beliau mengetengahkan bakat bukan dengan cara ‘merempit’ tidak tentu hala di jalan raya.

“Mereka menarik nafas lega selepas melihat saya membuat persediaan dengan cara yang betul, memakai pakaian keselamatan khas dan persembahan yang dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya yang pernah muncul membuat aksi lagak ngeri menerusi filem Adnan Sempit 2.

Setelah mendapat restu kedua-dua ibu bapanya, Ilia Iryani mengorak langkah secara profesional dengan menjalani latihan secara bertauliah selama enam bulan dengan hanya menggunakan motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha Lagenda.

Berkongsi kisah awal pembabitan itu kepada Bernama, Ilia Iryani berkata ketika itu beliau hanya berhasrat menjadikan profesion berkenaan sebagai kerja sampingan untuk mencari duit poket ketika di universiti, namun ia menjadi kerjaya tetapnya sehingga kini.

Mendirikan rumah tangga bersama rakan seperjuangan, Muhammad Amierul Hasraf, 25, pada 2017, Ilia Irayni berkata suaminya merupakan insan yang banyak memberi sokongan selain menjadi jurulatih bagi memantapkan setiap teknik baharu yang dipelajari.

Mengakui sukan lasak tersebut amat mencabar, namun di bawah bimbingan suaminya, Ilia Iryani lebih yakin untuk memantapkan teknik yang dirujuk menerusi laman YouTube, filem dan rancangan televisyen berkaitan.

“Selain mempelajari teknik-teknik baharu melalui rakan-rakan sepasukan, saya banyak membuat rujukan menerusi Internet bagi memperkemas lagi aksi lagak ngeri,” katanya.

Berkongsi kenangan manis, Ilia Iryani berkata baru-baru ini beliau berpeluang beraksi buat julung kali bersama suami tercinta bagi rakaman iklan sebuah syarikat iklan Singapura.

Mengekalkan ciri-ciri muslimah, Ilia Iryani yang selesa mengenakan selendang itu berkata penampilan sama sekali tidak menghalang beliau untuk berlatih seperti pelagak aksi ngeri lelaki kerana mereka perlu memakai topi keledar bertutup penuh, sut dan pad keselamatan yang melindungi daripada sebarang luka sama ada ketika sesi latihan atau ketika persembahan.

"Latihan amat diperlukan kerana bukan mudah untuk menjadi pelaku lagak ngeri memandangkan setiap aksi yang dilakukan perlu dipelajari dengan betul kerana kesilapan kecil mampu mengundang kecederaan,” katanya dan menambah bahawa beliau menjalani dua kali sesi latihan seminggu.

-- BERNAMA