Kajian yang dilakukan oleh Institute of Health Metrics and Evaluation (IHME) mendapati golongan wanita didapati lebih cenderung untuk menghidapi penyakit buah pinggang yang kronik (CKD) berbanding lelaki.

Bernama melaporkan hasil kajian oleh IHME itu mendapati secara puratanya sebaran penyakit CKD pada wanita adalah 14 peratus berbanding 12 peratus pada lelaki.

Laporan Dialisis dan Pendaftaran Pemindahan Organ Malaysia 2016 pula mendapati jumlah kes CKD di negara ini telah meningkat sehingga 94 peratus bagi jumlah pesakit dialisis baharu dalam tempoh 10 tahun.

Pada 2016, terdapat hampir 40,000 rakyat Malaysia yang memerlukan dialisis tetap dan 90 peratus daripadanya memerlukan rawatan hemodialisis tiga kali seminggu.

Bagaimanapun, lelaki lebih ramai memerlukan rawatan dialisis manakala nisbah antara lelaki dan perempuan yang menjadi pesakit dialisis masih lagi kekal 55 peratus lelaki, berbanding 45 peratus wanita.

Ketua Jabatan dan Konsultan Kanan Nefrologi Hospital Serdang, Prof Dr Goh Bak Leong memberitahu Bernama, ada beberapa sebab berbeza yang menjadikan jangkitan CKD lebih mudah kepada wanita, termasuk ketersediaan kemudahan kesihatan untuk wanita di sesetengah negara.

"Ketika penyebabnya masih lagi tidak jelas mengapa penyakit ini memberikan kesan yang berbeza antara lelaki dan wanita, ia merupakan sesuatu yang dikaji secara konsisten di seluruh dunia, di kedua-dua negara maju dan negara membangun," katanya.

Diabetes, tekanan darah tinggi dan faktor lain seperti penyakit genetik, kanser buah pinggang, pengambilan ubat penahan sakit dan tambahan ubat tanpa mendapat nasihat doktor, telah dinyatakan sebagai penyebab penyakit buah pinggang yang kronik.

Kadar kematian disebabkan CKD dalam tahun kebelakangan adalah mendatar, tetapi wanita mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi, disebabkan mereka sering kali mengabaikan simptom yang ada dan tidak mendapatkan bantuan rawatan.

Bagaimanapun, mengurut Dr Goh, terdapat cara yang boleh diambil untuk mengatasi peningkatan atau permulaan penyakit buah pinggang pada wanita, yang mana termasuklah pemeriksaan berkala untuk penyakit buah pinggang dan mengambil tindakan sepatutnya untuk menjaga tekanan darah dan kadar gula dalam darah.

"Mungkin wanita perlu menjaga diri mereka dengan lebih baik dan lebih proaktif dalam mendapatkan rawatan selepas mereka didapati menghidapi penyakit itu.

"Saya rasa, dalam kebanyakan kes, wanita sering melambatkan rawatan mereka kerana komitmen kepada keluarga dan peranan mereka sebagai penjaga atau takut cara hidup mereka akan terganggu disebabkan rawatan. Tetapi ini merupakan sesuatu yang tidak benar," katanya.

Pakar Nefrologi itu juga berkata, tidak mustahil untuk hidup dengan baik dan menikmati kuliti hidup yang lebih baik, sebaik sahaja pesakit mendapatkan rawatan berkaitan.

Dr Goh turut memaklumkan bahawa badan bukan kerajaan seperti Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKFM) akan membantu, bertemu pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan mereka yang menderita akibat pelbagai penyakit berkaitan buah pinggang.

-- BERNAMA