Seorang wanita maut akibat lemas selepas kereta dipandu anaknya terbabas dan terjunam ke dalam Sungai Parit 2 Ban Kenal Tanjong Karang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Mohd Asri Abd Wahad berkata dalam kejadian kira-kira 11.45 pagi itu, kereta dipandu anak mangsa dipercayai terbabas ke dalam sungai berkenaan.

"Anak mangsa yang berumur 31 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam yang kebetulan berada di kawasan berkenaan. Beliau bagaimanapun tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Ibunya yang berumur 50-an pula tenggelam bersama kereta dan bomba mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menaikkan kereta itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Asri berkata mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA