Akibat mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak polis ketika dikatakan cuba mempertahankan suami, seorang wanita didenda seratus ringgit dan berdepan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.

Tertuduh, Siti Nurjannah Abd Aziz, 25, bagaimanapun hanya mengaku bersalah di atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata makian di Restoran Az, di kilometer 7 Lebuh AMJ kira-kira jam 5.30 petang pada 27 Disember lalu.

Oleh demikian, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda hingga RM100 jika sabit kesalahan.


Bagi pertuduhan kedua, di tempat dan masa yang sama, Siti Nurjannah didapati dengan sengaja menghalang tugas anggota polis dengan cara menendang Mohd Khairul Anuar Ismail.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah Mohd Khairul dengan cara menendang di bahagian tangan hingga menyebabkan retak tulang jari.

Dia didakwa mengikut seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda jika disabit bersalah.

Mengikut fakta kes, kesalahan dilakukan tertuduh itu adalah ketika cuba menghalang pihak polis daripada menahan suaminya atas kesalahan cubaan membunuh dan memiliki pelbagai senjata.