Seorang kakitangan Jabatan Perangkaan Bentong maut selepas kereta jenis Perodua Viva yang dinaikinya dihempap sebatang pokok di Kampung Lata Kasah, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, kejadian jam 8.50 malam itu menyebabkan mangsa Farah Liana Safri, 27, dari Kampung Sungai Badak di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

"Siasatan mendapati mangsa bersama kakaknya keluar dari rumah mereka selepas solat Maghrib untuk ke bandar Jerantut dengan menaiki kereta terbabit.

"Bila sampai di hadapan masjid itu tiba-tiba sebatang pokok tumbang dan menimpa kenderaan terbabit yang dipandu oleh kakaknya," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat di Unit Forensik Hospital Jerantut mendapati punca kematian kerana cedera di kepala.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Anuar Hassan berkata, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat maklumat mengenai kemalangan berkenaan.

Menurutnya, anggota terbabit bertindak dengan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.