Seorang maut manakala seorang lagi cedera apabila lori yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang sebuah treler di hentian sebelah Ladang Bikam, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, pada Sabtu.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.37 pagi berhubung kemalangan itu sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bidor dikerah ke lokasi.

"Kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan melanggar sebuah treler.

"Seorang wanita Melayu berumur 39 tahun tersepit di bahagian penumpang dan disahkan meninggal dunia di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis.

"Manakala mangsa di bahagian pemandu iaitu lelaki dewasa Melayu berumur 40 tahun bagaimanapun hanya cedera ringan dan dihantar ke hospital oleh pihak perubatan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Sazali Abu Bakar itu tamat sepenuhnya pada pukul 7.02 pagi.