Seorang wanita maut dipercayai akibat terhidu asap dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Sungai Perling 4, Taman Perling, di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata mangsa itu dikenali sebagai Selamah Suleiman, 54.

Menurut siasatan awal, kebakaran dilakukan mangsa pada kira-kira 9.45 pagi bermula pada timbunan sampah yang kemudian dipercayai menyambar tilam lama yang terletak di belakang rumah, yang seterusnya merebak ke bahagian dapur.

Mohd Taib berkata ketika kejadian, anak lelaki mangsa, Asyraf Fahmi, 14, bersama seorang anak saudara lelaki turut berada di rumah.

"Menurut saksi (anak saudara mangsa), dia terjaga dari tidur sebab terhidu bau asap dan dapati keadaan bilik dipenuhi dengan asap. Saksi terus keluar dari bilik dan menerpa ke dapur serta mendapati asap tebal dan pandangan mata kabur," kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Kemudian, anak saudara mangsa terdengar bunyi letupan dari arah belakang rumah dan bergegas ke dapur rumah serta mendapati mangsa terbaring di ruang dapur dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Kedua-dua mereka cuba untuk memadamkan api yang sedang marak di bahagian dapur," tambah Mohd Taib.

Beliau berkata saksi turut menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan dan berjaya membawa mangsa keluar dari ruang dapur dengan bantuan jiran.

Menurut Mohd Taib, sejam kemudian bomba tiba dan berjaya memadamkan kebakaran.

Pada masa yang sama, ambulans dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) turut tiba dan pihak hospital mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke HSA untuk bedah siasat dan kita membuka kertas siasatan di bawah kematian mengejut," katanya. -- Bernama