Wanita sarat mengandung yang terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah ambulans dan kenderaan utiliti sukan (SUV) di sini, semalam, selamat melahirkan anak di Hospital Umum Sarawak (HUS) awal pagi tadi.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya dimaklumkan oleh doktor bertugas bahawa wanita terbabit, Ismala Mat, 40 tahun, selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 3.13 pagi.

"Ibu dan bayi dalam keadaan sihat dan selamat," katanya ketika dihubungi.

BACA: Ambulans bawa wanita mengandung dirempuh SUV

Dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada Selasa, ambulans yang sedang dalam perjalanan menghantar Ismala ke HUS dari Klinik Kesihatan Kota Samarahan, dirempuh sebuah SUV dari arah Jalan Green, kira-kira satu kilometer dari HUS.

Rempuhan pada bahagian kiri ambulans itu menyebabkan kenderaan itu terbalik lalu melanggar pembahagi jalan.


Selain Ismala yang cedera di kepala, seorang jururawat turut tercedera sementara seorang lagi jururawat dan pemandu ambulans hanya mengalami lebam.

Pemandu SUV terbabit, seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ismala yang berasal dari Kampung Nakong, Kota Samarahan dikejarkan ke HUS berikutan kandungan gula yang tinggi di dalam darahnya.