Wanita di kawasan pedalaman tidak akan tercicir daripada mendapat bantuan dan perkhidmatan daripada kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata hasrat itu selari dengan Tahun Mempekasa Wanita 2018.

“Hasrat saya saya nak capai segala program yang ada untuk disampaikan kepada kumpulan wanita di beberapa kawasan,” jelas Rohani

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian pada Majlis Penutupan Siri Jelajah Kembara Kebajikan 1Malaysia (KK1M) 2018 di Dewan Serbaguna Dato Godam, Pusa.

Menurutnya lagi pembabitan wanita menerusi program KK1M 2018 mencatat peningkatan sehingga 70 peratus berbanding sasaran.

Program KK1M tahun ini merupakan yang ketiga dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat sejak 2014.

Sementara itu, menurutnya lagi seramai 500,000 golongan sasaran di seluruh negara sudah mendapat manfaat daripada 11 skim bantuan yang disediakan oleh kerajaan setakat ini.

Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion bagi 11 skim bantuan tersebut.

Daripada jumlah itu, RM150.5 juta bantuan kewangan diberikan kepada 47,199 penduduk di Sarawak.