Wanita yang dirakam bertengkar dengan penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tampil memberi keterangan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata wanita berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bersama suaminya, 50-an pada jam 11 malam semalam untuk direkodkan keterangan.

“Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kejadian itu, suami wanita berkenaan juga disahkan mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Megat, pihaknya kini dalam proses melengkapkan siasatan kes sebelum dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya esok.

Kejadian di Bandar Puteri Puchong pada jam 1 petang itu berlaku apabila penguat kuasa MPSJ menunda kereta wanita itu yang diletakkan di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk OKU.

Wanita berkenaan yang tidak berpuas dengan tindakan itu kemudiannya memarahi penguat kuasa berkenaan sambil memegang pengunci stereng kereta sebelum kenderaannya ditunda.

Suami wanita itu kemudiannya tampil de depoh tunda dan membayar denda RM190 selain memohon maaf atas tindakan isterinya itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan ugutan jenayah.