Seorang wanita rentung apabila kenderaan dipandu bertembung dengan sebuah pacuan empat roda (4WD) dalam satu kejadian awal pagi ini di Jalan Dam di sini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, mangsa maut apabila terbakar di dalam kereta jenis Proton Saga setelah bertembung dengan kenderaan jenis Toyota Revo pada pukul 6.24 pagi.

Sebuah jentera dan ambulan JBPM Lahad Datu digerakkan ke lokasi kejadian bersama seorang pegawai dan lapan anggota, katanya dalam satu kenyataan.

Setiba di lokasi, pihak JBPM mendapati seorang mangsa telah rentung manakala seorang lagi, iaitu pemandu 4WD, hanya mengalami kecederaan ringan.

Api dapat dipadam dan mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Foto JBPM Sabah

Sementara itu, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Pegawai Bomba Kanan II, Julkifli Harry dipetik Bernama berkata, operasi memadam tamat sepenuhnya pada 7.11 pagi dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.