Gara-gara terpedaya dengan sindiket Macau Scam, seorang wanita mengalami kerugian sebanyak RM39,199 selepas menjadi mangsa dalam sindiket berkenaan di Jalan SS18, Subang Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohammad Azlin Sadari berkata mangsa berumur 50-an, bekerja sebagai pegawai pentadbiran di sebuah syarikat di Subang Jaya, menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri dan menyamar sebagai pegawai Mahkamah Kuala Lumpur.

Beliau berkata suspek mendakwa terdapat syarikat menggunakan nama mangsa yang mempunyai tunggakan bayaran GST sebanyak RM85,700.

"Mangsa menafikan mempunyai syarikat sedemikian serta tidak mempunyai sebarang tunggakan bayaran GST, manakala panggilan itu disambung ke talian lain dan mangsa kemudiannya bercakap dengan individu kedua yang memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat polis Bukit Aman.

"Individu berkenaan memberitahu mangsa telah terlibat dengan kes pengubahan wang haram melibatkan transaksi wang berjumlah RM1.2 juta dan meminta maklumat bank mangsa bagi mengelakkan akaun dibekukan semasa siasatan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Azlin berkata mangsa kemudian menjadi panik dan terus memberikan maklumat akaun di tiga bank berbeza.

"Mangsa kemudian diminta menunggu beberapa minit untuk siasatan awal dijalankan bagaimanapun setelah menyemak akaun-akaun berkenaan, mangsa mendapati wang beliau telah dipindahkan ke pihak ketiga melalui transaksi atas talian," katanya.

Mohammad Azlin berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.