Seorang wanita Vietnam yang sebelum ini didakwa di mahkamah atas tuduhan memberi rasuah kepada dua pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini direman selama tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) .

Perintah reman sehingga 22 Nov itu dikeluarkan Majistret Ainna Sherina Saipolamin selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret, di sini untuk siasatan berhubung kes memberi suapan berjumlah RM890,000 kepada pegawai APMM.

Terdahulu, wanita berusia 41 tahun yang dikenali sebagai Tran Thi Mai itu tiba di mahkamah pada kira-kira 9.40 pagi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari.

Wanita itu ditahan pada 12.10 tengah hari semalam di pejabat SPRM Kuantan, Pahang semasa dipanggil memberi keterangan berhubung kes itu.

Menurut sumber SPRM, suspek disyaki telah memberikan sogokan berjumlah RM890,000 melalui lima transaksi sepanjang tahun ini kepada pegawai APMM sebagai balasan untuk melepaskan bot-bot nelayan Vietnam yang ditahan agensi itu di perairan Malaysia atas beberapa kesalahan.

Menurut sumber SPRM itu lagi, siasatan juga dijalankan bagi mengenal pasti pemilik-pemilik bot yang telah dilepaskan serta pemilikan nombor pendaftaran bot yang dipalsukan.

Tambahnya, SPRM juga mahu mengenal pasti rangkaian perhubungan antara saksi-saksi awam dan ejen kerajaan yang bersekongkol dengan wanita tersebut.

Jumaat lepas, Tran didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan menawarkan suapan RM800,000 kepada dua pegawai APMM yang menyamar sebagai orang tengah untuk diserahkan kepada pegawai APMM terbabit pada pukul 9.40 pagi, 5 Nov lepas..

Suspek yang telah 17 tahun menetap di Malaysia dan fasih berbahasa Melayu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah membenarkannya diikat jamin RM100,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia bersama syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis Kuantan, setiap bulan.

-- BERNAMA