Sembilan wanita warga China ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah selepas disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menawarkan aktiviti tidak bermoral dalam serbuan di sebuah hotel berhampiran Kompleks Asia City, Kota Kinabalu, semalam.

Dalam serbuan jam 8 malam itu, semua wanita yang berusia 25 hingga 46 tahun itu dicekup dalam Op Ikrar (Gegar) dijalankan di lokasi berkenaan.

Selain daripada tangkapan itu, turut ditemukan sejumlah kepingan kondom dan alat pelincir seks di dalam beberapa buah bilik hotel terbabit.

Menurut jurucakap JIM Sabah berkata, sembilan suspek yang ditahan itu dipercayai berkerja sebagai tukang urut di hotel terbabit selain dipercayai menawarkan khidmat seks kepada pelanggan mereka.

"Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota membuat serbuan di sebuah hotel berhampiran kompleks berkenaan sebelum berjaya menahan sembilan wanita tersebut.

"Semua wanita terbabit disyaki berkerja sebagai tukang urut dan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan mereka.

"Kita kemudiannya membawa semua suspek untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.