Seorang wanita warganegara China berumur 39 tahun disahkan positif wabak koronavirus (COVID-19) menjadikan jumlah mangsa meningkat kepada 19 orang di Malaysia.

Mangsa terbaharu ini merupakan kawan kepada kes-14 dan juga anak kepada kes-16 yang mana kedua-duanya kini sedang menerima rawatan di wad pengasingan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mangsa bersama-sama empat orang lain tiba di Malaysia dari Wuhan, China pada 25 Januari 2020.

"Sebaik sahaja dua kes terdahulu dikesan positif (iaitu kes-14 dan kes-16), masing-masing pada 5 Februari dan 7 Februari 2020, beliau telah diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan.

"Hasil aktiviti pemantauan yang dijalankan secara berterusan ke atasnya oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mendapati beliau mula mengalami gejala demam dan batuk pada 12 Februari 2020," kata Noor Hisham dalam kenyataan media pada Khamis.

Mangsa juga, kata Noor Hisham, telah dirujuk ke HKL untuk dimasukkan ke wad bagi menerima rawatan dan siasatan selanjutnya.

Katanya, ujian pengesanan dan pengesahan COVID-19 yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada hari yang sama.

"Beliau kini telah dimasukkan ke wad pengasingan di HKL dan berada dalam keadaan stabil," kata beliau lagi.