Berang ditegur kerana mabuk, seorang warga emas berusia 60 tahun dipercayai sanggup memukul isterinya hingga mati menggunakan batang mop di rumah mereka di Seksyen 20 di sini malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata mangsa berusia 60 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan di kepala.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11.30 malam selepas suspek yang dipercayai mabuk pulang bersama isterinya dari rumah anak saudara mereka di Taman Sri Muda di sini.

"Berlaku pertengkaran mulut antara pasangan suami isteri itu kerana suspek mabuk. Suspek kemudian bertindak memukul isterinya dengan sebatang mop dan selepas dipukul si mati yang tidak melawan, baring di atas kerusi panjang.

"Suspek kemudian terus masuk ke dalam bilik dan tidur," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut Shafien, suspek hanya menyedari isterinya telah meninggal dunia kira-kira 9.30 pagi ini apabila mendapati mangsa tidak bergerak.

Katanya, suspek yang menghidap kencing manis dan seorang anak saudaranya berumur 30-an ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dekat sini, untuk bedah siasat.