Seorang wanita warga emas ditemukan mati dipercayai akibat ditetak oleh anak lelakinya di rumahnya di Kampung Baru Air Kuning di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7.20 malam, anak sulung mangsa yang baru pulang dari Kuala Lumpur ternampak ibunya Low Kew @ Low Lin Kiew, 74, dalam keadaan berlumuran darah dan meminta bantuan jiran untuk menelefon pihak polis.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Som Sak Din Keliaw berkata lelaki berkenaan melihat adiknya tergesa-gesa cuba keluar dari kawasan rumah dengan keadaan pakaian mempunyai kesan darah.

"Anak sulung mangsa terus menahan suspek dan melaporkannya kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Som Sak berkata setibanya pihak polis di lokasi kejadian, mangsa yang juga lumpuh terlantar atas kerusi malas di bahagian dapur dengan kesan tetakan di leher dan muka dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam rumah itu mendapati terdapat kesan darah di lantai dan kerusi serta percikan di dinding dan peti sejuk berdekatan mangsa.

"Terdapat sebilah pisau pemotong daging dan sebilah pisau kecil yang patah dan mempunyai kesan darah di tepi mangsa," katanya sambil menambah pakaian suspek dan senjata dirampas.

Som Sak berkata menurut lelaki itu, mangsa dan suspek telah menelefonnya dua hari lepas untuk menghantar suspek mendapatkan rawatan berikutan suspek suka bercakap bukan-bukan.

Katanya suspek yang juga pekebun sawit disyaki penagih dadah dan dalam pengaruh dadah pada masa kejadian.

Beliau berkata mangsa yang mempunyai empat orang anak tinggal berdua bersama suspek selepas tiga yang lain tinggal di Kuala Lumpur.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. -- BERNAMA