Demi mengaut keuntungan menerusi kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), seorang wanita warga Myanmar terpaksa menukar modus operandi secara berkala bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Wanita berusia 35 tahun itu kini terpaksa menyembunyikan PATI yang diseludup di sebuah hotel sebelum pihak lain mengambil warga asing itu lalu dibawa ke lokasi seterusnya.

Malah lebih mengejutkan apabila wanita yang merupakan dalang sindiket penyeludupan terbabit telah menyalahgunakan kad pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) yang dimilikinya untuk tinggal di negara ini sekali gus meneruskan kegiatan haram untuk mengaut keuntungan lumayan.

Bagaimanapun kegiatan wanita itu terbongkar apabila sembilan PATI warga Myanmar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2, di sebuah hotel di sini.

Menurut Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Mohd Shahar Ibrahim kesemua PATI itu dibawa masuk melalui lubang tikus di kawasan sempadan dan dipercayai untuk dihantar ke Pulau Pinang bagi mendapatkan pekerjaan.

“Kita berjaya menahan sembilan PATI warga Myanmar yang terdiri daripada enam perempuan dan tiga lelaki di sebuah hotel di sekitar Changlun Kedah, kemudiannya menangkap seorang wanita warga Myanmar yang disyaki sebagai dalang dalam aktiviti penyeludupan PATI itu,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Mohd Shahar turut menyaksikan majlis serah dan terima tugas daripada Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 2 Kulim, Deputi Superintendan Mohd Razali Melin kepada Pegawai Pemerintah Batalion 18 Pengkalan Hulu, Perak, Superintendan Khalid Sayon yang akan mengambil alih tugas menjaga Ops Wawasan Kedah/Perlis di sempadan Malaysia-Thailand dari Perlis ke Bukit Kayu Hitam..

Tambah Mohd Shahar, kesemua PATI yang ditahan berusia 25 hingga 35 tahun dan pemeriksaan awal mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Selain itu, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Camry yang disyaki digunakan wanita terbabit untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Imigran 2007 (ATIPSOM).