Polis sedang mengesan seorang lelaki dipercayai warga Nepal yang didakwa mencabul seorang penyanyi jalanan dalam kejadian di hadapan sebuah pusat beli-belah pada petang Selasa bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, mangsa seorang wanita berusia 23 tahun dikatakan dipeluk dan diraba lelaki warga asing terbabit ketika sedang bersiap sedia untuk membuat persembahan di hadapan pusat beli-belah Sogo di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah, ketika kejadian mangsa bersama suaminya sedang menyiapkan peralatan untuk melakukan persembahan sebelum didatangi seorang lelaki.

"Lelaki berkenaan dikatakan memeluk mangsa dari belakang dan meraba badan wanita itu sebelum suspek ditolak oleh suami mangsa.

"Suspek yang cedera di hidung terbaring di hadapan pusat beli-belah berkenaan sebelum beredar dari kawasan terbabit," katanya dalam satu kenyataan

Suspek yang cedera di hidung terbaring di hadapan pusat beli-belah berkenaan sebelum beredar dari kawasan tersebut. -foto Facebook GENJI Buskers

Katanya lagi, seorang Polis Bantuan Sogo dan pengawal keselamatan kemudiannya telah memberikan rawatan kepada lelaki berkenaan sebelum warga Nepal itu beredar dari tempat kejadian.

"Menurut polis bantuan berkenaan, lelaki berkenaan berkemungkinan mabuk berdasarkan cara percakapan dan bau alkohol pada dirinya," katanya lagi.

Orang ramai dan saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.