Gelagat mencurigakan seorang lelaki warga asing yang cuak dan cuba melarikan diri sebaik melihat kehadiran polis akhirnya merungkai rahsia apabila dia dicekup kerana didapati memiliki dadah jenis syabu.

Dadah seberat 50.25 gram bernilai RM5,900 itu ditemui dalam serbuan di Skim Penempatan Kinarut, dekat sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, suspek berusia 29 tahun terbabit dikatakan cuba melarikan diri sebaik terserempak dengan anggota yang bertugas sebelum berjaya diberkas sejurus kemudian.

Ketua Polis Daerah Papar DSP Ladamah Sulaiman berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek, pihaknya berjaya menemukan 14 paket plastik kecil yang disorokkan di dalam poket seluar lelaki itu.

Manakala, dua lagi paket besar yang turut mengandungi hablur jernih syabu cuba dibuang oleh suspek berhampiran lokasi kejadian.

"Kita buat operasi ini pada 29 Januari lalu, jam lebih kurang 12.10 malam, di mana sepasukan anggota narkotik menjalankan serbuan di Skim Penempatan Kinarut.

"Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun, warga asing, di lokasi berkenaan. Tangkapan ini membawa kepada rampasan dadah syabu seberat 50.25 gram," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ladamah berkata, kejayaan tangkapan suspek berusia 29 tahun dan dikehendaki polis itu adalah susulan tangkapan dua lelaki yang masing-masing berusia 20-an atas kesalahan mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 di lokasi sama, sebelum ini.

"Suspek kini masih direman manakala syabu dirampas sudah dibawa ke IPD Papar untuk tindakan lanjut.

"Lelaki warga asing yang ditahan kerana memiliki syabu seberat 50.25 gram itu kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Ladamah menjelaskan, pihaknya merekodkan peningkatan jumlah tangkapan dadah membabitkan 83 individu sepanjang Januari tahun ini, berbanding 20 orang dalam tempoh sama tahun lalu.