Seorang lelaki warga asing dipercayai penagih dadah ditahan sepasukan anggota polis dalam Operasi Tapis di kawasan simpang batu 13 Jalan Jeroco, Jalan Lahad Datu-Sandakan kira-kira pukul 5 petang, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

"Sewaktu melakukan pemeriksaan badan, anggota telah menemukan satu sampul bertulis 'Air Mail Par-Avion' dalam poket hadapan sebelah kanan seluar jeans yang dipakai suspek.

"Pemeriksaan lanjut sampul surat tersebut mendapati terdapat satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu dan 19 gulung kertas timah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Nasri, suspek dibawa ke IPD Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methametamine dan anggaran berat dadah yang dijumpai ialah 31.2 gram dan bernilai kira-kira RM4,680," katanya.

Kes disiasat dibawah seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.