Seorang warga Bangladesh maut setelah cedera parah akibat ditetak di bahagian muka, tangan dan perut dalam satu kejadian yang berlaku di Jalan Kelapa Muda, Kampung Segambut Bahagia, di sini pada pagi Ahad.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung kes pergaduhan sekitar pukul 9.12 pagi.

"Mangsa ditemui di tempat duduk pemandu kenderaan jenis Toyota dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mayat mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Pihak polis kini sedang meneruskan siasatan untuk mengenal pasti suspek serta motif serangan dilakukan terhadap mangsa.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Asrizal Khairul di talian 017-276 9117 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.