Lebih 70 anggota penyelamat meredah ombak besar di Pantai Cherating dalam usaha mengesan seorang warganegara China yang dilaporkan hilang semasa mandi-mandi di kawasan pantai itu semalam.

Anggota berkenaan, menggunakan tujuh buah bot penyelamat, sebuah kapal maritim dan satu unit jet ski, melakukan pencarian di kawasan seluas tiga kilometer untuk mengesan Peng Xiangyu, 31 dari Jilin, China, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng Syed A. Jamaluddin Syed Mohamed.

Peng bekerja dengan sebuah syarikat minyak dan gas yang mempunyai kontrak di Kawasan Perindustrian Gebeng, telah menginap di sebuah resort sejak enam bulan lepas, katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Beliau berkata lelaki itu pergi mandi-manda bersama rakannya pada kira-kira 5 petang dan dilaporkan telah terkapai-kapai di tengah laut sebelum hilang dihanyutkan ombak.

Katanya bomba yang menerima laporan tentang kejadian itu pada 5.26 petang telah menghantar lapan anggota dengan sebuah jentera bomba untuk misi mencari dan menyelamat.

Syed A Jamaluddin berkata operasi disambung semula pagi ini dengan ditambah sebanyak 63 anggota lagi daripada empat agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Operasi pada hari ini diperluas sehingga tiga kilometer dari kawasan mangsa dilaporkan hilang dengan menggunakan tujuh buah bot penyelamat, sebuah kapal maritim dan satu unit jet ski.

"Misi mencari dan menyelamat berhadapan dengan kesukaran berikutan keadaan ombak besar setinggi antara tiga hingga lima meter berikutan musim tengkujuh," katanya.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak mandi-manda di pantai di negeri Pantai Timur berikutan keadaan ombak besar pada musim tengkujuh ketika ini.

-- BERNAMA