Kejadian tetak seorang warga emas di Kampung Chap Rimau, Tanah Merah di Kelantan, Sabtu lalu adalah bermotif untuk mencuri rokok.

Mangsa, Hamid Mat Salleh, 84, diserang suspek yang berusia 33 tahun menggunakan cangkul dan kuku kambing sehingga menyebabkan kematian akibat kehilangan banyak darah pada lengan kiri.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sebelum kejadian, mangsa baharu keluar dari bilik air yang terletak di luar rumahnya tanpa menyedari suspek menceroboh masuk ke dalam rumah untuk mencuri rokok.

"Mangsa masuk ke dalam rumah lalu terserempak dengan suspek dan berlaku pergelutan sebelum warga emas itu dipukul menggunakan kuku kambing dan cangkul.

"Gerakan memburu suspek dibuat dan dia ditahan di sekitar Tanah Merah pada tengah hari Ahad," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Turut dirampas adalah cangkul sepanjang 85 sentimeter di belakang rumah mangsa, sebatang kuku kambing, baju-T dan seluar.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.