Padah mengeluarkan komen berbaur hinaan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, seorang lelaki warga emas didenda RM8,000 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini.

Tertuduh, Lee Chen Pin, 68, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik dengan niat untuk menganiayai orang lain menerusi akaun Facebook “Gavin Lee” pada 29 Februari lalu.

Lelaki yang berasal dari Kuching, Sarawak itu didakwa melakukan kesalahan yang telah dibaca oleh orang awam di kedai makan Tiga Ros, Jalan Bukit Cina Melaka sekitar jam 1.30 pagi, 1 Mac 2020 lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) akta sama yang boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Aiman Ariff Abdul Azij merayu agar jumlah denda anak guamnya itu diringankan dengan mengambil kira faktor usia dan tahap kesihatan warga emas itu.

Elesabet pada penghakimannya kemudian menetapkan denda RM8,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Mohd Sophian Zakaria.